APRIL 2023

PUSAKA Hulur Sumbangan Kepada 62 Pelbagai Pertubuhan


KUCHING: Sejumlah 62 pertubuhan kebajikan, badan-badan amal, agama dan pendidikan menerima sumbangan daripada Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) di sini.

Sumbangan berjumlah keseluruhan RM284,000 itu disampaikan Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, sumbangan tersebut bertujuan membantu pertubuhan -pertubuhan berkenaan bagi menjalankan aktiviti.

“Kejayaan sesebuah organisasi harus dilihat dari segi komitmen dan kesungguhannya untuk berkongsi kemakmuran serta keuntungan dalam menunaikan tanggung jawab sosial kepada masyarakat.

“Dengan itu kita dapat meneruskan program sumbangan derma seperti ini dan program-program lain dalam meningkatkan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian Derma Tahunan PUSAKA dan Anak- Anak Syarikat PUSAKA 2023 di Wisma Sumber Alam di sini.

Awang Tengah berharap agar lebih banyak badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan dan sektor korporat tampil dan mengikuti usaha murni PUSAKA untuk sama-sama menyumbang kepada masyarakat.

Sumber dari : Jiwa Bakti